Sementara menunggu Persatuan diluluskan, tanpa membuang masa agenda persatuan diteruskan dimana pada hari jumaat ini 17-7-2009 akan diadakan mesyuarat J/Kuasa Kerja bagi melantik J/Kuasa Pembangunan, Kewangan dan Teknikal & Pemilihan. Dua J/Kuasa dan pengurus pasukan akan diwujudkan iaitu Pengurus Pasukan Formula Future dan Pengurus Pasukan Waterski & Wakeboard. Pengerusi J/Kuasa Pembangunan secara automatik akan menjadi pengurus pasukan untuk merangka, merancang dan melaksanakan program untuk tahun 2009-2010 bagi kedua-dua sukan air tersebut. J/kuasa kewangan bertanggungjawab menyusun strategik mencari penajaan dan sumbangan daripada pihak kerajaan atau swasta. J/kuasa Teknikal & Pemilihan dipertanggungjawabkan menjadi pemandu bot/jurulatih/marsyal/hakim/pencatat masa dan markah, yang akan mendapat kursus kejurulatihan dari pihak H2O Sports atau WWWC kelak.
Saya telah mendapat persetujuan secara lisan dari pihak Waterski & Wakeboard World Cup Sdn. Bhd. yang akan menyokong usaha persatuan untuk pembangunan sukan Waterski & Wakeboard Putrajaya dan akan memberi latihan berjadual selama 3 bulan untuk pemanduan bot, seminar kejurulatihan serta hakim pertandingan bagi kedua-dua acara tersebut. Terima kasih pada WWWC sdn. bhd di atas bantuan teknikal yang ditawarkan. Setakat ini belum ada rundingan dengan pihak H2O Sports Sdn. Bhd. untuk sukan Formula Future dan adalah diharapkan Timbalan Presiden dan pengurus pasukan Formula Future yang dilantik akan dapat meneruskan rancangan PETRA seperti yang dirancangkan.