Selasa, 29 Julai 2008

Berita Dari AgendaDaily










Perdana Menteri bangga dengan kejayaan pasukan Formula FutureJuly 25, 2008 : 02.08 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pasukan Formula Future negara di peringkat antarabangsa diteruskan dan tidak hanya terhenti pada satu peringkat sahaja. Pasukan Formula Future Malaysia telah menjuarai Kejohanan Dunia Formula Future di Ravenna, Itali yang berlangsung pada 18 hingga 20 Julai lepas, buat kali keempat. Pelumba negara yang berumur antara lapan hingga 18 tahun berjaya memungut tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa. Perdana Menteri yang berbangga dengan kejayaan tersebut berkata adalah menjadi tanggungjawab Persatuan Formula Future Malaysia untuk memastikan kejayaan itu berkekalan. "Ini bergantung kepada persatuan, kejayaan ini mesti diteruskan dan mesti ada anak-anak muda yang muncul kerana mereka ini tidak selamanya muda tetapi akan dewasa. "Dan apabila dewasa nanti, mereka akan pilih sukan yang mereka minat untuk menjadi wira di peringkat itu. Jadi mesti ada ganti anak muda dalam umur persekolahan ini yang membanggakan," katanya ketika meraikan pasukan Formula Future negara di kediaman rasminya di Seri Perdana, di Putrajaya Khamis. Bernama melaporkan turut hadir di majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaacob dan Presiden Formula Future Senator Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee. Anggota pasukan tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini. Abdullah berkata peluang mesti diberikan kepada semua peringkat umur dan tidak tertumpu kepada golongan dewasa sahaja. "Beri peluang kepada mereka bukan sahaja dalam bidang pelajaran tetapi juga dalam bidang sukan. Ini yang kita tidak terfikir iaitu menjadi wira dalam usia yang begitu muda," katanya. Perdana Menteri berkata kejayaan pasukan negara itu adalah sesuatu yang jarang berlaku dan rakyat harus berbangga kerana mereka menjadi wira di peringkat antarabangsa. "Ini hanya berlaku di negara kita dan empat kali menang. Ini yang bagus. Harap Syed Ali pastikan kejayaan ini berterusan," katanya. Beliau juga berkata kejayaan mereka boleh menjadi contoh kepada atlet lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Abdullah berkata usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan dalam membuat persediaan dari segi mental dan fizikal serta mempunyai azam dan semangat yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat. "Mereka mesti sentiasa memusatkan perhatian mereka kepada apa yang mereka mahu berjaya, agar mendapat kejayaan, itu caranya. "Bukan mereka tak boleh, kenapa ada yang boleh. Jadi, kita mahu semangat ini pada semua. Kita mahu kejayaan ini dikejar oleh semua. "Kejayaan anak-anak ini (pelumba) boleh menjadi satu contoh. Ini yang perlu difahami dan diketahui dan juga perlu menjadi ikutan kepada pasukan-pasukan lain," katanya. Jeanne kemudiannya mengalungkan bunga kepada anggota pasukan tersebut.
Sementara itu Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam menghadapi persaingan hebat di persada sukan dunia, Malaysia tidak boleh mengharap kejayaan tanpa proses untuk memupuk atlet mudanya sendiri. Timbalan Perdana Menteri berkata pendedahan atlet muda terhadap persaingan di peringkat global sejak kecil lagi adalah penting agar mereka boleh menjadi juara dunia kelak. Proses memupuk atlet itu adalah persediaan yang penting dalam sukan, katanya ketika menerima kunjungan pasukan Formula Future Negara di pejabatnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan, berkata kerajaan bangga dengan pencapaian anak muda tempatan menjuarai Kejohanan Formula Future Dunia di Ravena, Itali, Ahad lepas. Kejayaan itu, katanya , menunjukkan Malaysia mampu mengetengahkan bakat kecil di persada sukan antarabangsa. Formula Future merupakan sukan bot laju membabitkan atlet berumur antara lapan tahun dan 18 tahun. Mengenai pesanannya kepada kontingen Malaysia ke Sukan Olimpik di Beijing, Najib mengajak seluruh rakyat mendoakan kejayaan mereka. "Bukan mudah untuk memenangi pingat Olimpik, saya harap mereka akan cuba sedaya-upaya," katanya. Pada majlis itu, Najib turut memotong kek hari jadinya. "Tiada lilin. Sangat diplomatik. Umur rahsia," katanya sambil berseloroh.- 24/7/2008