Rabu, 28 Mei 2008

Tugasan Urusetia SUKMA XII

Sebagai pengerusi persatuan adalah bertanggungjawab melantik urusetia-urusetia yang berkebolehan yang sanggup berkorban tenaga, masa dan kewangan sendiri setakat yang mampu dan tidak membebankan, kelak sepertimana persatuan-persatuan lain berdaftar, persatuan di atas budibicara dan kemampuan kewangannya akan membayar imbuhan dalam bentuk elaun-elaun khas samada mengikut ketetapan Majlis Sukan Wilayah atau budibicara persatuan. Imbuhan elaun ini sebenarnya tidak terbalas pun berbanding modal sendiri yang telah pun dilaburkan secara sedikit-sedikit mengikut kemampuan sendiri. Minyak petrol, tol, bil telefon selular, failing-failing, printing, makan minum dan lain-lain yang sudah dilaksanakan sejak bulan Mac lagi. Sebagai landasan supaya persatuan terus hidup segar dalam tempoh jangka panjang, elaun-elaun ini sekiranya berkemampuan akan dibayar sebagai tanda terima kasih dan penghargaan di atas kerja-kerja ikhlas yang telah dilaksanakan sebelum ini tanpa ada perasaan berkira-kira. Untungnya persatuan ini berbanding persatuan-persatuan lain, atlit-atlit persatuan adalah anak-anak kepada JKuasa persatuan. Di atas semangat itulah persatuan ini bergerak subur, cergas dan aktif berbanding persatuan-persatuan lain dimana mengikut rekod KBS, 28 persatuan persatuan telah berkubur. Pendekatan JKuasa ibarat sambil menyelam minum air, atau 2 in 1, buat kerja bersungguh-sungguh pada persatuan dan anak-anak mendapat manfaatnya. Dalam tempoh 3 bulan penubuhan persatuan ini atas inisiatif saya supaya ibu-bapa bergerak dibawah satu bumbung, saya telah lihat dengan pemerhatian beberapa orang ibu-bapa yang bekerja keras dan memberi sumbangan ikhlas tanpa menagih balasan demi kemajuan anak-anak dan secara tak lansung untuk kemajuan persatuan. Mereka-mereka ini saya lantik menjadi urusetia untuk SUKMA XII di Terengganu pada 31 Mei - 6 Jun 2008.

Pengurus - Pengerusi persatuan, bertanggungjawab mencari sumber kewangan samada dari agensi kerajaan, ahli politik atau swasta, mengatur strategik untuk kebajikan atlit-atlit, urusetia dan ibu-bapa. Juga mencari penaja untuk pengangkutan bas untuk atlit dan petugas. Secara ehsannya sama-sama berkongsi bas dengan atlit-atlit dari negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Mempastikan semua program dalam keadaan teratur dan baik. Memantau pergerakan urusetia didalam menjalani tugasan. Bertanggungjawab berurusan dengan urusetia SUKMA, Majlis Sukan Wilayah dan H2O Sports dalam segala urusan yang diperlukan.

Penolong Pengurus - Bendahari persatuan Pn Siti Hendon. Melaksana perbelanjaan persatuan mengikut program yang diaturkan. Perbelanjaan keperluan para atlit termasuk pakaian sukan, urusetia, makanan, masakan, minuman, peralatan berkaitan dan penginapan. Beliau juga bertindak sebagai pegawai perhubungan awam dengan H20 Sports.

Urusetia Pentadbiran - Penolong Setiausaha Pn Shasha. Tugasan merekod kesemua aktiviti-aktiviti atlit, latihan dan ibu-bapa, memantau pergerakan disiplin dan kesihatan para atlit, membantu pengurus dalam hal ehwal pengurusan atlit dan ibu-bapa.

Urusetia Atlit - Naib Pengerusi En Tawfik - memastikan keperluan asas dipusat latihan dan pertandingan dari segi kehadiran, disiplin, makanan dan minuman dalam keadaan bersedia dan membantu atlit yang memerlukan apa-apa bantuan kecemasan.

Urusetia Lojistik dan Peralatan - JKuasa En Mohd Aidi - ditugaskan mencari perkakasan/peralatan/makanan/masakan/minuman yang diperlukan untuk tempat penginapan dan tempat latihan/pertandingan.

Untuk meringankan bebanan tugasan oleh pihak urusetia, para ibu-bapa yang hadir digalakkan menghulurkan bantuan serta bergotong royong dalam apa jua sekali pun dimana yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing dan boleh bertindak sebagai mata dan telinga persatuan didalam semua urusan atau perkara-perkara yang terlepas pandang untuk memastikan anak-anak atlit Putrajaya bersaing dalam keadaan selesa dan terjaga dalam semua aspek keselamatan dan kebajikan. Keselesaan mental dan fizikal atlit boleh menjadi pencetus kejayaan yang cemerlang. Kepada semua urusetia selamat bertugas diluar sempadan dan saya doakan kita semua dianugerah kesihatan yang baik, anggap tugasan ini bukan suatu bebanan tetapi suatu kebajikan demi kemajuan sukan atlit-atlit/anak-anak Putrajaya keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.

Pengerusi Penaja